JEMPOL: Gara-gara penangan rakan Instagram dengan nama Doctor Pedro Pablo, seorang pelajar berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM5,500 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa seorang wanita berusia 23 tahun dikatakan baru mengenali ‘doktor’ berkenaan pada bulan lalu ketika berada di rumahnya di Serting dekat sini ketika melayari akaun media sosialnya.
Menurutnya, kenalannya itu mengaku berasal dari Sepanyol dan telah berhubung dengan mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp menerusi nombor telefon +447451220832 dan ingin memberikan mangsa pelbagai hadiah.
“Antara hadiah yang dijanjikan kepada mangsa ialah Macbook Pro, jam tangan, satu set barang kecantikan wanita, jambangan bunga, komputer riba jenama Apple, telefon bimbit Apple, wang tunai dan barang kosmetik.
“Bagaimanapun pada 10 Mei lalu (Isnin), kira-kira pukul 9.37 pagi, mangsa telah menerima panggilan dari kurier yang menyatakan barang tersebut sangat berat dan meminta mangsa membayar untuk cas penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, selepas panggilan berkenaan, mangsa telah melakukan pemindahan wang melalui perbankan dalam talian sebanyak enam tranksaksi dan dua nombor akaun penerima atas nama T. Usiah Dawn dan A. Nirmala Devi berjumlah RM5,500.
Menurutnya, kes berkenaan merupakan salah satu daripada empat kes membabitkan jenayah komersial yang telah dibuka kertas siasatannya semalam di daerah ini.
“Terdapat empat kes jenayah komersial dengan nilai keseluruhan kerugian sebanyak RM19,330 membabitkan mangsa yang kesemuanya wanita berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 40 tahun.
“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.