PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dan aktiviti perjudian dalam talian dengan penahanan empat lelaki warga China dalam serbuan di kondominium di Mont Kiara dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.35 petang itu, kesemua suspek berusia 26 hingga 32 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai mula menyewa kediaman berkenaan sejak lima bulan lalu dengan bayaran RM8,000 sebulan.
“Setiap pekerja dibayar gaji dengan kadar RM6,500 sebulan.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sembilan komputer riba, 26 telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit tablet dan beberapa lagi peralatan serta wang tunai sebanyak RM95,550 dan mata wang asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Annuar, suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jelas beliau, orang ramai dinasihati tidak terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya. – UTUSAN ONLINE