Destinasi serpihan roket China terhempas belum dikenal pasti - Utusan Malaysia

Destinasi serpihan roket China terhempas belum dikenal pasti

KEDUDUKAN di orbit terkini sisa rocket Rocket Long March 5B.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lokasi tepat serpihan roket Long March 5B milik kerajaan China terhempas ke bumi setakat ini masih lagi belum dapat dikenal pasti dengan jitu berikutan pelbagai faktor semasa.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, kedudukan sebenar sisa roket tersebut akan memasuki bumi juga tidak boleh dijejak dengan agak tepat.

“Untuk makluman, lokasinya tidak dapat diramal sehingga beberapa jam sebelum re-entry (kemasukan semula) itu berlaku,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Situasi itu ujarnya, berdasarkan kepada prinsip saintifik yang pada kebiasaannya ada unsur ketidakpastian bagi sebarang pengukuran atau ramalan dihasilkan dalam kebanyakan kes.

Keadaan tersebut jelasnya, adalah sangat besar disebabkan perubahan kadar ketumpatan lapisan atas atmosfera, sifat fizikal objek seperti jisim, komposisi bahan, lokasi dan kelajuan.

Long March 5B dilancarkan pada 29 April lalu untuk menghantar modul teras ke stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dengan berat 22,600 kilogram ke orbit pengoperasian.

Sisa roket ini bakal re-entry ke bumi sehingga esok dan ketika ini menurun dengan jarak 198 kilometer dari paras laut di kawasan antara latitud 41.5 darjah Utara dan 41.5 darjah Selatan.

“Setiap pelancaran roket kelazimannya meninggalkan serpihan dan saiznya bergantung saiz roket namun sebahagian akan musnah terbakar dan berkecai di atmosfera,” terang Azlikamil.

Bagaimanapun katanya, hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja akan jatuh ke bumi tetapi orang ramai tidak perlu bimbang kerana kebarangkalian adalah sangat rendah.

Ini ujar beliau, termasuk kemungkinan objek sisa roket itu menimpa manusia atau merosakkan struktur bangunan memandangkan 70 peratus daripada muka bumi terdiri daripada air.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah menghubungi talian kecemasan 999 jika mengesyaki atau melihat kejadian re-entry serpihan berkenaan.

Mereka juga dinasihatkan tidak menyentuh sebarang objek yang disyaki daripada kejadian re-entry dan seeloknya membuat rakaman insiden itu untuk membantu penyiasatan MYSA.

“Jangan buat sebarang hebahan atau sebar maklumat palsu berhubung kejadian ini malah hebahan rasmi disahkan cuma dibuat melalui media oleh pihak berkuasa sahaja,” tegasnya.

Sehingga kini kata Azlikamil, lokasi sebenar serpihan itu terhempas masih tidak dapat diramal tepat dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya