PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan untuk tidak menutup operasi Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang dan Taman Setiawangsa.
Keputusan itu dibuat setelah penambahbaikan dibuat terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk kedua-dua bazar tersebut.
“Bazar ini sepatutnya ditutup operasinya selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mulai 1 Mei hingga 2 Mei.
“Setelah memperoleh maklumat terbaharu, DBKL membuat keputusan untuk membenarkan kedua-dua bazar ini beroperasi semula seperti biasa dengan menambah bilangan anggota penguatkuasa bagi memastikan SOP dipatuhi dengan kawalan yang dipertingkatkan,” menurut DBKL dalam kenyataan.
DBKL juga memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi kepada ketidak patuhan kepada SOP.
“Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat. DBKL telah mensyaratkan kepada pihak penganjur untuk bersama-sama memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, DBKL mengakui pihaknya masih menunggu keputusan terkini daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berhubung operasi bazar Ramadan tersebut.
“DBKL berharap agar semua pihak terutamanya pengunjung dan penjaja dapat memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan pematuhan SOP di semua bazar Ramadan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN ONLINE