BATU PAHAT: DAP menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai dakwaan yang dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini.
Gesaan itu disuarakan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang berucap semasa merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2021, di sini hari ini.
Katanya, antara dakwaan yang perlu disiasat termasuklah campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kartel dan tindakan merasuah ahli politik untuk lompat parti.
“Ini bukan pendedahan biasa, ia pendedahan oleh Ketua Polis Negara, isu kartel dan rasuah dalam PDRM besar kesannya kerana rakyat bergantung kepada mereka untuk menyelesaikan masalah.
“Sekiranya wujud amalan kartel dan budaya rasuah misalnya, bagaimana rakyat nak yakin dengan sistem kepolisan di negara ini,” soalnya.
Baru-baru ini, Abdul Hamid dalam satu sidang akhbar khas mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan pentadbiran PDRM selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai budaya.
Gobind berkata, pendedahan berkenaan serius kerana memberi kesan negatif kepada PDRM dan RCI yang ditubuhkan perlu menyiasat segera dakwaan itu kerana agensi itu merupakan pasukan penguatkuasa penting dalam negara.
“Apabila perkara ini dibangkitkan, kenyataan balas dikeluarkan kerajaan adalah perkara ini akan disiasat tetapi secara dalaman, manakala SPRM pula menyatakan mereka yakin masalah ini boleh diselesaikan secara dalaman, tapi ini soal rasuah.
“Sekiranya dakwaan itu benar, maka kerajaan perlu ambil tindakan tegas, namun jika ia tidak benar, satu kenyataan rasmi perlu dikeluarkan dan tidak membiarkan perkara tersebut tergantung begitu sahaja,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE