Daging lembu segar jadi tumpuan ramai - Utusan Malaysia

Daging lembu segar jadi tumpuan ramai

ORANG ramai berbaris panjang bagi mendapatkan bekalan daging lembu segar di Pasar Tani Khas di Stadium Mini Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Permintaan kepada daging lembu tempatan tetap tinggi dengan orang ramai sanggup beratur panjang untuk membelinya di Pasar Tani Khas di Stadium Mini Pontian, pagi ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peniaga tidak menang tangan melayan kedatangan pembeli seawal pukul 7 pagi walaupun terpaksa menunggu giliran dengan kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sebagaimana yang ditetapkan melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 (SHMMP), daging lembu biasa dijual dengan harga RM34, daging pejal, RM36 hingga RM37 dan tulang lembu RM32 sekilogram.

Dianggarkan sebanyak 28 ekor lembu dan 3,000 ayam dijual di pasar tani itu yang bermula semalam sehingga hari ini.

Bagaimanapun, situasi berlainan di Pekan Permas, Kukup, apabila orang ramai hampa kerana hanya tiga ekor lembu sahaja disembelih pada tahun ini manakala tiada jualan daging lembu di Pekan Serkat.

Menurut penjual daging, Mohd. Firdaus Abd. Karim, 32, dia hanya menyembelih tiga ekor lembu disebabkan peraturan yang ketat oleh pihak berkuasa berbanding 10 hingga 20 ekor pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam, kesemua daging tersebut habis dijual.

“Saya menjualnya dengan harga RM34 sekilogram bagi daging biasa mengikut harga yang ditetapkan dalam SHMMP,” katanya.

Sementara itu, tinjuan di Pekan Ayer Baloi mendapati, terdapat dua peniaga menjual daging lembu segar bagi memenuhi keperluan penduduk setempat bagi persiapan hari raya pada esok.

Peniaga, Mohd. Zulfadli Supardi, 33, berkata, dia juga menyembelih tiga ekor lembu pada hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapat bekalan daging segar yang diternak di Kampung Parit Mokhayat.

“Alhamdulillah, ianya cukup bagi menampung permintaan orang ramai dengan harga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan orang ramai mendapatkan bekalan tersebut bagi persiapan hari raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya