Daftar lewat kelahiran di Malaysia menurun dalam tempoh 10 tahun - Utusan Malaysia

Daftar lewat kelahiran di Malaysia menurun dalam tempoh 10 tahun

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Permohonan kes daftar lewat sijil kelahiran di Malaysia mencatatkan trend penurunan ketara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan statistik 2010, sebanyak 30,466 permohonan direkodkan, bagaimanapun jumlah berkenaan menyusut kepada hanya 6,894 permohonan pada tahun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh 10 tahun itu empat negeri menerima permohonan tertinggi iaitu Sabah sebanyak 68,247 kes, Sarawak (42,026 kes), Selangor (18,651 kes) dan Johor (13,933 kes).

“Secara keseluruhannya sebanyak 216,183 permohonan kes daftar lewat sijil kelahiran direkodkan dari 2010 hingga 2020.

“Bagaimanapun, setiap tahun jumlahnya makin berkurang sekali gus membuktikan yang masyarakat mulai sedar kewajipan untuk mendaftarkan kelahiran lewat di samping hasil kejayaan program turun padang, Mekar yang dirintis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kelahiran daftar lewat kepada dua beradik, Nur Iffika Dahlia Rusli, 9, dan adiknya, Nur Irine Delisha, 2 tahun di Kampung Gong Balai, Merchang di sini hari ini.

Ruslin berkata, antara alasan yang diberikan ibu bapa berhubung kelewatan mendaftar kelahiran anak ialah lokasi kediaman jauh, dokumen tidak lengkap di samping sikap tidak cakna.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama golongan berkenaan agar segera membuat pendaftaran kelahiran anak masing-masing di 225 pejabat JPN di seluruh negara.

“Peranan masyarakat sekeliling juga amat penting dalam membantu menyelesaikan isu ini dan saya memuji sikap jiran tetangga yang prihatin terhadap nasib keluarga yang berdepan masalah daftar lewat sijil kelahiran,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya