Covid-19: UMNO mungkin tangguh keputusan tarik sokongan PN Ogos ini - Utusan Malaysia

Covid-19: UMNO mungkin tangguh keputusan tarik sokongan PN Ogos ini

TAJUDDIN Abdul Rahman berucap pada majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada asnaf di Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: UMNO sedia menimbangkan semula keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos ini jika kes Covid-19 masih tinggi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, disebabkan kes Covid-19 yang tinggi, kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti yang didesak oleh UMNO tidak dapat dilaksanakan walaupun selepas UMNO menarik balik sokongan terhadap PN ketika itu.

Menurutnya, jika UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan keputusan menarik balik sokongan terhadap PN pada Ogos ini, parti itu akan melihat semula berapa lama tempoh yang akan ditetapkan untuk terus menyokong kerajaan PN.

“Kita tahu Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan pada Ogos ini sebagai tamatnya sokongan kita terhadap kerajaan PN dan selepas sokongan ditarik balik, kita berharap Parlimen akan dibubarkan dan PRU-15 akan diadakan.

“Kita andaikan ketika itu kes Covid-19 sudah reda dan darurat ditarik balik, tapi kalau kes Covid-19 mencanak sampai 10,000 kes, pada waktu itu, kita akan pertimbangkan semula (keputusan tarik balik sokongan terhadap PN)..

“Kalau kes Covid-19 masih tinggi, bermakna, pilihan raya tak boleh nak dilaksanakan. Ketika itu kita akan tengok semula apa yang perlu dibuat, kita mahukan tempoh berapa lama lagi.

“Ibarat kita nak merentasi jambatan, apabila kita sudah sampai di jambatan barulah kita fikir macam mana nak melaluinya, tapi, sekarang kita belum sampai lagi ke jambatan itu. Buat sementara ini, kita akur keadaan Covid-19 masih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada asnaf kawasan Parlimen Pasir Salak di Dewan Besar Pekan Rabu di sini hari ini.

UMNO sebelum ini mengumumkan akan kekal menyokong kerajaan PN sehingga Ogos depan sebagaimana keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak mengakui marah dengan tuduhan UMNO hanya tahu berpolitik apabila mendesak PRU-15 diadakan.

Katanya, jika UMNO hanya berpolitik, rakyat tidak akan menikmati kemajuan seperti sekarang.

“Saya marah betul orang kata UMNO asyik nak nak politik saja. Itu tak betul, kalau asyik berpolitik saja, negara kita tak macam ini.

“Tolong betulkan persepsi dan cakap-cakap yang menyakitkan hati. Ingat kita tak ada perasaan, kita pun ada perasaan juga, cakap sedap UMNO ini politik saja bukan kira nasib rakyat, yang tukang cakap tu bagi apa (kepada rakyat),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya