Contohi saringan komuniti Covid-19 di Selangor - Utusan Malaysia

Contohi saringan komuniti Covid-19 di Selangor

Seorang kanak-kanak melakukan saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna Bukit Antarbangsa di Ampang Jaya pada 18 Mei 2021. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saringan secara besar-besaran dalam komuniti yang dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor perlu dicontohi oleh kerajaan negeri lain dalam membantu mengawal penularan jangkitan wabak Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd Rani berkata, langkah-langkah kawalan pandemik dapat dilakukan dengan berkesan sekiranya kerajaan-kerajaan negeri yang lain mencontohi saringan komuniti bersasar yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.

Katanya, saringan yang dijalankan itu adalah suatu kaedah yang bagus dalam membantu kawalan penyakit kerana kadar jangkitan dalam komuniti dapat diketahui apatah lagi terhadap mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Sekiranya keadaan seperti sekarang ini yang menunjukkan kes-kes positif yang tinggi semasa saringan besar-besaran, di mana kes dalam komuniti adalah tinggi. Tambahan pula, kebanyakan mereka yang hadir juga tidak menunjukkan sebarang gejala kepada simptom Covid-19. Mereka ini boleh menyebarkan jangkitan.

“Dengan adanya saringan besar-besaran ini, mereka yang positif dapat diasingkan dan diberikan rawatan. Pengasingan adalah perlu bagi mengelakkan jangkitan lain dan juga menhentikan rantaian jangkitan.
“Sekiranya kerajaan negeri-negeri lain mencontohi kerajaan Selangor, saya yakin bahawa langkah-langkah kawalan pandemik dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.

Saringan tersebut dilaksanakan kepada warga Selangor secara percuma bermula 8 Mei lepas sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan sasaran dua Dun dalam sehari.

Bagaimanapun, Mohd Dzulkhairi yang juga Profesor Madya Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, sekiranya saringan yang dilakukan menunjukkan keputusan negatif adalah ramai atau menunjukkan kadar positif yang rendah, maka ini menunjukkan bahawa kadar jangkitan dalam komuniti adalah rendah.

“Ini akan menunjukkan bagaimana rakyat patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan ia sekaligus dapat menentukan bagaimana kejayaan polisi dan penguatkuasaan oleh kerajaan serta kawalan penyakit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya