PUTRAJAYA: Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) akan menambah sebanyak empat lagi bilangan khemah menunggu dan sejumlah 500 kerusi bagi mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa di ibu negara hari ini.
Dalam satu kenyataan, CITF memaklumkan, kesesakan itu terjadi kerana laluan kenderaan masuk ke kawasan tersebut agak kecil, selain bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu bagi mereka yang hadir mendapatkan imunisasi agak terhad.
Menurutnya, kapasiti PPV adalah seramai 1,600 orang sehari dan jumlah ditambah dengan bilangan pengiring menyebabkan jumlah orang ramai yang berada di lokasi adalah berganda dalam satu-satu masa.
“Keadaan ini semakin buruk apabila hujan dan kenderaan yang menghantar penerima vaksin berebut menghentikan kenderaan masing-masing berdekatan dengan pintu masuk.
“CITF memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan masalah kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa dan akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kami dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
PPV Stadium Titiwangsa dilaporkan sesak berdasarkan situasi itu dikongsikan menerusi rakaman video orang awam yang berurusan di lokasi berkenaan sekitar pukul 2 petang.
Kesesakan dilihat berlaku di bahagian pendaftaran apabila orang ramai terdiri daripada warga emas termasuk yang berkerusi roda beratur panjang menunggu giliran.- UTUSAN ONLINE










