CBP agih kit penjagaan diri kepada penerima vaksin - Utusan Malaysia

CBP agih kit penjagaan diri kepada penerima vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sejajar dengan peranan untuk mensejahterakan masyarakat, Co-opbank Pertama (CBP) mengambil langkah dengan mengedarkan 1,000 kit penjagaan diri dan makanan ringan untuk penerima vaksin AstraZeneca di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd Faris Kamarudin berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan sebahagian usaha CBP meringankan beban pihak kerajaan dan penerima vaksin.

Katanya, setiap tahun, CBP akan mengeluarkan peruntukan dana bagi menjalankan program kebajikan sebagai langkah prihatin.

“Sejak tahun lalu, CBP giat menjalankan pelbagai program kebajikan berkaitan dengan Covid-19 termasuk menyampaikan beg makanan kepada kumpulan kesihatan dan keselamatan yang bertugas.

“Pada tahun ini pula, CBP diberi peluang untuk menyokong program vaksin dan pemberian kit ini adalah sebahagian daripada langkah untuk membantu menjayakan program ini dan akan diadakan di beberapa pusat pemberian vaksin yang terpilih. Ini juga adalah sebahagian dari usaha bagi menarik minat orang ramai bagi menerima vaksin.

“Bagi program pemberian kit penjagaan kesihatan dan makanan ringan ini dianggarkan sebanyak RM10,000 diperuntukkan dan CBP akan menambah jumlah dan kandungan kit mengikut kesesuaian,” katanya di sini hari ini.

Kata Mohd Faris, pemberian itu seiring dengan fokus CBP sebagai institusi perbankan sentiasa ingin membantu masyarakat dengan mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan mereka.

“Kit ini dilengkapi dengan pelitup muka, cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer, pen, air mineral dan kudap-kudapan. Juga diselitkan buku maklumat mengenai CBP. Pemberian barangan ini turut mendapat kerjasama daripada pihak berkenaan seperti pihak keselamatan dan kesihatan untuk memastikan pemberian kit ini tidak mengganggu proses vaksin,” katanya.

Kata Mohd Faris, selari dengan saranan kerajaan, CBP sentiasa menyokong dan mengajak syarikat milik kerajaan dan organisasi swasta untuk turut sama membendung penularan Covid-19.

“Sebagai entiti perniagaan perkhidmatan berkeperluan yang juga institusi kewangan, CBP turut terkena tempias akibat Covid-19 yang semakin meningkat kes saban hari.

“Jadi, adalah menjadi tanggungjawab CBP untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan termasuk koperasi dan individu diteruskan dan tidak terjejas akibat pandemik,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai harapan CBP, katanya, bank itu mahu lebih giat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada lebih ramai pelanggan individu dan koperasi.

“Ada beberapa produk pembiayaan yang boleh dinikmati pelanggan yang paling penting adalah patuh syariah seperti Ar-Rahnu yang semakin mendapat perhatian ramai dalam sektor pajak gadai.

“Kesemua perkhidmatan ditawarkan oleh CBP berpegang pada konsep ingin membantu pelanggan baik individu dan koperasi lebih lagi yang terkesan akibat pandemik untuk terus kekal dalam industri diceburi mereka.

“Sesuai dengan anugerah diterima sebagai Koperasi Terbaik Malaysia 2020, CBP akan terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik selaras visi kerajaan pelan transformasi seiring penerapan norma baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya