KANGAR : Kerajaan negeri melihat bukan masa sesuai dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di Perlis memandangkan kes Covid-19 di negeri ini tidak menunjukkan peningkatan ketara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, situasi di Perlis tidak sama dengan negeri-negeri lain yang menunjukkan peningkatan ketara.
Katanya, keadaan Covid-19 di Perlis masih terkawal dan tidak ada kenaikan mendadak meskipun terdapat beberapa kes baharu.
“Melihat kepada situasi semasa yang tidak berapa serius (Covid-19) di Perlis, tidak keperluan dilaksanakan PKP menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Azlan berkata, bagaimanapun, jika kerajaan Pusat memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara, Perlis tidak akan membantah sebaliknya sedia mengikut arahan tersebut.
“Selama ini pun, Perlis tidak pernah bercanggah dengan keputusan kerajaan Pusat dan kita akan akur,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan mengakui kesan terhadap ekonomi akan berlaku jika PKP menyeluruh terpaksa dilaksanakan.
“Namun di Perlis dalam suasana PKP ketika ini sedikit berbeza apabila wujudnya banyak peniaga-peniaga kecil yang mencari rezeki.
“Rata-rata mereka sudah mula biasa dengan situasi sekarang dan berbeza dengan peringkat awal pelaksanaan PKP dahulu di mana pada masa itu ramai yang terkesan,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kes pandemik Covid-19 di Perlis mula menunjukkan peningkatan termasuk dengan wujudnya satu kluster baharu dikenali sebagai kluster Jalan Kampung Bakau yang mula dikesan sejak 14 Mei lalu.
Setakat ini, kluster yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Jalan Kampung Bakau di sini itu telah melibatkan tujuh kes positif.
Semalam, Perlis turut mencatatkan lapan kes baharu dengan jumlah keseluruhan kes aktif positif Covid-19 setakat ini sebanyak 22 kes, manakala kes import aktif pula mencatatkan 13 kes setakat ini. -UTUSAN ONLINE