Borong juadah peniaga bazar, sedekah kepada penduduk - Utusan Malaysia

Borong juadah peniaga bazar, sedekah kepada penduduk

MUHAMMAD Syukri Ibrahim (kiri) bersama Mohd. Youzaimi Yusof (tiga dari kiri) memborong juadah berbuka puasa untuk disedekahkan kepada penduduk di Kampung Sri Pantai Mersing, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini memiliki cara tersendiri untuk memberi sumbangan apabila memborong juadah peniaga bazar Ramadan sebelum kemudian diberikan secara percuma kepada penduduk.

Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, usaha dilakukan di bawah program ‘gobok makanan’ itu adalah untuk membantu peniaga golongan B40 yang juadahnya kurang mendapat sambutan.

Katanya, inisiatif bersama Yayasan Makmur Mersing dan juga Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh itu dilakukan secara ‘terjah’ ke kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti terlebih awal oleh ahlinya.

“Gobok makanan di Mersing pada bulan Ramadan ini kita tampilkan kelainan dengan memanjangkan rezeki pihak-pihak yang memberi sumbangan kepada penduduk sekitar daerah ini dengan cara ini.

“Modus operandinya kita datang ke kedai, warung bazar yang kita lihat jualannya tidak berapa bagus yang dibuka di depan rumah, tepi jalan secara terjah dan memborong semua juadah mereka.

“Sebelum itu kru kita telah membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum kita datang ke kedai-kedai yang dikenal pasti, beli semua juadah sebelum disedekahkan kepada penuduk,” katanya selepas memborong juadah di tiga kawasan Kampung Sri Pantai, Kampung Pangkalan Batu dan Kampung Air Merah, semalam.

Muhammad Syukri berkata, mereka juga hanya mengutamakan peniaga yang membuat kuih sendiri atau menjual kuih orang lain di mana hasilnya untuk kegunaan harian bagi menampung perbelanjaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Pengerusi Yayasan Makmur Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof pula berkata, usaha dilakukan itu juga secara tidak langsung dapat mempromosikan juadah yang dijual oleh peniaga terbabit.

“Ramadan ini kita bantu promosi peniaga-peniaga yang fokus berniaga di depan rumah melalui kaedah tersebut dan pada masa sama memberi sedekah kepada masyarakat. Ini adalah program baharu tetapi setakat ini sudah 10 program dibuat bermula di Endau dan mendapat sambutan terutama daripada peniaga sendiri,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga, Norizan Husin, 48, berkata, dia baru pertama kali menjual juadah makanan pada bulan Ramadan bagi mencari wang perbelanjaan harian.

Katanya, suaminya hanya seorang nelayan di mana pada waktu malam mereka akan menjual burger untuk menambah pendapatan.

“Masa perintah kawalan pergerakan (PKP) hampir setahun suami tidak bekerja kerana tidak dapat turun ke laut. Sebagai isteri saya cuba bantu suami jadi saya cuba untuk jual makanan, kuih-muih pada bulan Ramadan ini.

“Setakat ini hasil jualan hanya dapat tampung perbelanjaan harian. Jika ada duit lebih barulah beli baju raya untuk anak-anak. Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kepada NGO yang membeli semua juadah saya dapatlah saya pulang awal dan berehat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN