KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis melakukan operasi sanitasi awam secara berkala di tempat-tempat tumpuan awam di sekitar negeri ini bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau mengikut keperluan.
Pengarahnya, Ruhisha Haris berkata, langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kegusaran masyarakat terutamanya selepas menyaksikan peningkatan kes yang kini mencapai angka lebih 9,000 sehari.
Katanya, fokus akan diberikan terhadap lokasi yang mempunyai ramai orang awam seperti di stesen bas ekspres Kangar, stesen keretapi Arau, pasar dan sebagainya.
“Pasar raya juga akan diberi tumpuan terutamanya sejak pengumuman PKP sepenuhnya semalam yang dijangka mendorong kepada pembelian panik bagi orang ramai. Proses sanitasi secara berkala ini akan dibuat dalam tempoh selang lima ke tujuh hari di tempat yang sama. Ini kerana kita mempunyai banyak tempat yang harus disanitasi setiap hari.
“Macam hari ini, kita ada lima lokasi termasuk di stesen bas ekspres, stesen keretapi, pasar awam Arau, Padang Besar dan Simpang Empat. Esok pula ada tujuh lokasi lain,” katanya ketika ditemui selepas proses sanitasi di stesen bas ekspres di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebelum ini, khidmat sanitasi lebih tertumpu kepada permohonan daripada jabatan kerajaan atau lain-lain tempat yang mempunyai kes positif dalam kalangan kakitangan, pelanggan atau kontak rapat di premis mereka.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya membenarkan cuti anggota sebanyak 20 peratus, namun perkara itu tidak menjejaskan operasi di balai.
Katanya, anggota akan bertugas secara giliran untuk kerja sanitasi yang melibatkan anggota antara enam hingga sembilan orang bergantung kepada balai yang terlibat.
“Jika terdapat keperluan untuk guna khidmat anggota bomba sukarela yang mana terdapat sembilan pasukan di negeri ini, maka kita boleh memanggil mereka pada bila-bila masa sahaja.
“Selain itu, 20 peratus anggota yang bercuti juga boleh dipanggil untuk membantu pasukan bertugas di balai kerana mereka berada di negeri ini sahaja dan tidak boleh keluar ke tempat lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE