GEORGETOWN: Sebanyak 691 premis di negeri ini telah disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri sejak Mac tahun lalu dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, premis-premis itu melibatkan bangunan kerajaan, sekolah, kediaman, pasar awam dan institut pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sepanjang tahun ini setakat hari ini juga, sebanyak 410 operasi sanitasi telah dijalankan pihaknya di premis-premis berkenaan iaitu meningkat berbanding hanya 281 premis sepanjang tahun lalu.
“Sanitasi awam ini dijalankan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 termasuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai inisiatif dan langkah yang diambil pihak bomba.
“Antara lain juga adalah untuk memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat supaya sama-sama membantu memerangi pandemik ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Saadon hadir pada Program Sanitasi Awam yang dijalankan di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson di sini.
Operasi bermula pukul 10 pagi itu melibatkan seramai 15 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru serta Jalan Perak. – UTUSAN ONLINE