DUNGUN: Bagi menceriakan suasana Hari Raya Aidilfitri, Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini mengambil pendekatan berbeza dengan mengagihkan pek lemang dan rendang kepada penduduk setempat.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azman Alias berkata, pemberian sumbangan berkenaan diharap dapat mengubat rindu orang ramai kepada kampung halaman masing-masing berikutan tidak dapat meraikan Syawal bersama keluarga tersayang.
Katanya, lebih istimewa juadah popular hari raya itu disediakan oleh pegawai dan anggota balai berkenaan.
“Kita mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memasak dan kemudian sebanyak 100 pek lemang serta rendang diagihkan kepada penduduk sekitar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pengguna jalan raya di AMBS, semalam.
Azman berkata, program yang julung kali diadakan itu turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE