GEORGETOWN: Inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan sendiri vaksin Covid-19 sewajarnya dibincang dan diselaraskan dengan baik seperti mana hemah yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Selangor.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, permainan politik, saling tuduh-menuduh serta label ‘perbuatan jenayah’ tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.
Beliau menambah, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan secara menyeluruh untuk semua rakyat Malaysia bagi membolehkan imuniti berkelompok dapat dicapai dengan segera tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik.
Sehubungan itu tambahnya, beliau yakin kerjasama berterusan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dengan Kerajaan Persekutuan melalui Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras PICK akan memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat.
“Saya menggesa pimpinan politik mengambil pendekatan yang lebih rahmah demi kemaslahatan rakyat.
“Apa yang lebih penting pada ketika ini adalah menggandakan usaha serta pendekatan lebih berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat khususnya di Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin.
“Kita masih belum menang dan kita perlu bersama-sama dalam usaha ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Reezal Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas mengenai kontroversi derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat swasta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang didakwa tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Khairy semalam yang mendedahkan tawaran derma oleh syarikat yang kononnya berpangkalan di Hong Kong itu adalah palsu manakala syarikat swasta tersebut juga tidak wujud.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, penjelasan Khairy berhubung isu tersebut menimbulkan tanda tanya bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh dikelirukan dengan tawaran yang dianggap sebagai “bogus atau scam” sekali gus mengelirukan masyarakat terhadap PICK yang sedang dilaksanakan.
Namun apa yang lebih dikesalkan tambahnya, kenyataan liar Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng yang secara semberono melabelkan Kerajaan Persekutuan sebagai melakukan perbuatan jenayah seperti mana ciapan Twitter beliau.
“Soal keselamatan dan nyawa rakyat khususnya di Pulau Pinang tidak seharusnya dijadikan bahan dagangan semata-mata untuk meraih laba politik yang sedikit.
“Pun begitu, saya sedia maklum Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kon Yeow telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi penularan Covid-19 ini,” katanya. – UTUSANBuat