MELAKA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri akan mengemukakan cadangan pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Ayer Salak di Kampung Bukit Datuk A dekat sini.
Pengarahnya, Abd. Hakim Hamzah berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kerajaan Pusat tidak lama lagi dalam usaha mengurangkan risiko banjir di Bukit Rambai serta kawasan sekitarnya.
Menurutnya, JPS akan mengkaji dan menilai cadangan tersebut sebelum dapat menganggarkan kos pembinaannya.
“JPS akan buat permohonan baharu dan ia mungkin memakan masa yang agak lama untuk diluluskan Kerajaan Pusat.
“Ini adalah projek jangka panjang, jika diluluskan ia dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit,” katanya di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad baru-baru ini, ekoran banjir teruk yang melanda enam taman perumahan dan empat buah kampung melibatkan hampir 5,000 penduduk minggu lalu.
Mohamad Ali berkata, kejadian banjir paling teruk melanda kawasan terbabit berpunca daripada Sungai Ayer Salak yang tidak diselenggara dengan sempurna oleh JPS.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Abd. Hakim berkata, ia berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi dengan merekodkan jumlah hujan sebanyak 170 milimiter.
“Apabila taburan hujan tinggi air Sungai Malim yang banyak memasuki Sungai Ayer Salak dan tidak dapat keluar di Sungai Klebang disebabkan air laut pasang,” jelasnya.
“Keadaan itu menyebabkan air dari sungai terbabit melimpah keluar hingga menenggelamkan enam taman perumahan dan empat buah kampung di Bukit Rambai,” jelasnya.