Biadab hina Agong, pertikai tindakan kerajaan tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Biadab hina Agong, pertikai tindakan kerajaan tangani Covid-19

MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan mana-mana individu atau parti politik yang mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 amat dikecam apatah lagi jika ada yang sanggup menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi media sosial.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, ia jelas sekali satu perbuatan biadab dan wajar dikenakan tindakan yang setimpal.

Beliau berkata, terdapat juga mereka yang suka mempersendakan ilmuan agama dan para mufti atas usaha memberikan nasihat supaya tidak ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti rentas negeri dalam kalangan rakyat.

“Disebabkan keghairahan ingin menyambut perayaan, nasihat mereka dipermainkan netizen yang tidak bertanggungjawab sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Apabila nasihat-nasihat ilmuan ini tidak diikuti, maka itulah yang terjadi sehingga peningkatan kes jangkitan Covid-19 sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, tindakan kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) mulai Selasa ini adalah satu keputusan tepat walaupun sukar kerana perlu memikirkan soal kehidupan rakyat yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup masing-masing.

Namun begitu katanya, keputusan itu amat perlu melihat kepada ancaman kesihatan lebih besar, yang mana ia boleh memudaratkan nyawa rakyat sekiranya tidak dibendung dan menyebabkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan tidak menentu sebagaimana terjadi di negara-negara luar.

Justeru kata beliau, amatlah tidak wajar melontarkan kata-kata kesat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau pihak kerajaan kerana itulah keputusan yang terbaik untuk beliau lakukan dalam keadaan sekarang.

Jelasnya, tanda pagar seperti #KerajaanGagal atau #KerajaanBodoh adalah keterlaluan, tidak betul dan tidak akan membantu kerana siapa sekalipun yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana yang menjadi kerajaan, jumlah kes harian Covid-19 tetap tidak akan menurun jika mentaliti rakyat tidak berubah dan masih terus tidak patuh kepada SOP.

“Di samping total lockdown, rakyat sendiri perlulah mempunyai kesedaran tinggi membuat pematuhan SOP kendiri kerana apa pun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan kerana penguat kuasa tidak mampu mengawasi seluruh rakyat.

“Kita tidak mahu lagi mendengar selepas ini ada lagi laporan mengenai mereka yang senyap-senyap merentas daerah atau negeri, senyap-senyap membuat perhimpunan sosial, senyap-senyap beribadah beramai-ramai, senyap-senyap berziarah rumah ke rumah, senyap-senyap dine in, senyap-senyap lari dari tempat isolasi dan pelbagai aktiviti lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya