KUALA TERENGGANU: Seluruh daerah Besut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) walaupun dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, SOP itu berkuatkuasa hingga 4 Jun ini sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, kekeliruan orang awam tentang SOP yang diguna pakai di daerah ini timbul susulan pengumuman 17 perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
“Besut masih lagi dalam PKPD yang melibatkan 15 mukim, berkuatkuasa pada 22 Mei hingga 4 Jun.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE