JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat disaran memberi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) peruntukan tambahan sebagai salah satu inisiatif menangani isu pemasaran hasil pertanian dan perladangan ketika tempoh sekatan pergerakan penuh bermula esok.
Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, peruntukan tersebut dapat digunakan untuk membeli hasil tani petani dan peladang khususnya di negeri ini sekali gus mengatasi masalah lambakan hasil yang tidak terjual dan buruk begitu sahaja.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, petani mengalami kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka. Keadaan bertambah parah apabila pemborong membeli dalam jumlah yang kecil, membatalkan pembelian saat akhir selain mengambil kesempatan dengan membeli pada harga yang rendah.
“Golongan petani adalah antara mereka yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19. Mereka bersusah payah mengusahakan tanaman dan ternakan ditambah lagi dengan ancaman serangga perosak dan pemangsa lain selain faktor cuaca tidak menentu. Apabila tiba masa menuai, hasil mereka pula gagal dipasarkan.
“Justeru, kita berharap FAMA dapat membeli dan pasarkan hasil tani ini daripada rosak begitu sahaja. Memandangkan FAMA mempunyai kekangan kewangan, jadi kita minta Kerajaan Pusat dapat menyediakan peruntukan khas bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum menangani isu tersebut kepada Pejabat FAMA Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Johor, Ramli Abd. Hamid dan Setiausaha pertubuhan itu, Mohd. Zaki Mohd. Osman.
Mazlan memberitahu, antara cadangan lain yang diketengahkan adalah usahasama antara FAMA dengan agensi yang berkaitan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mempunyai cawangan dan rangkaian di seluruh negara.
Katanya, ketiga-tiga agensi itu pernah bekerjasama melalui Gerai Peduli Rakyat pada 2019 yang perlu diaktifkan semula dan diperbanyakkan khususnya di kawasan luar bandar dengan kerjasama komuniti setempat.
“FAMA juga disarankan mewujudkan pusat sehenti hasil dan produk pertanian di Singapura. Ini dapat mempertingkat hasil para petani khususnya dari Johor selain menggunakan kaedah pemasaran sedia ada.
“Selain itu, FAMA juga diharap melancarkan tabung bencana yang dapat memberi manfaat kepada lebih ramai petani yang terjejas. Ini kerana jika hendak menunggu duit pampasan akibat kerosakan tanaman mengambil masa yang lama sehingga lima bulan,” katanya.
Tambah Mazlan, bagi memudahkan bantuan disampaikan kepada golongan petani dan peladang, FAMA turut disarankan untuk menambah baik pangkalan data bagi memastikan tidak ada yang terlepas pandang termasuk mereka yang tidak berdaftar dengan organisasi terbabit.