Beratur panjang bawah cuaca panas untuk ujian calitan Covid-19 - Utusan Malaysia

Beratur panjang bawah cuaca panas untuk ujian calitan Covid-19

IBU bapa dan murid terpaksa berpayung kerana cuaca panas terik ketika menunggu proses ujian calitan Covid 19 di Klinik Kesihatan Beserah, di Kuantan, Pahang. UTUSAN/KHAIRULMIZAN YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ratusan ibu bapa dan murid mengerumuni Klinik Kesihatan Beserah, di sini, hari ini bagi menjalani ujian calitan Covid-19 berikutan lonjakan kes Covid-19 di beberapa sekolah di bandar ini.

Tinjauan di lokasi mendapati, proses terbabit kelihatan tidak teratur apabila ibu bapa tepaksa menunggu dalam barisan panjang di bawah cuaca panas terik dan tiada penjarakan sosial.

Rata-rata ibu bapa yang hadir menemani anak masing-masing terpaksa berpayung untuk mengelak cuaca panas selain ada yang berteduh di bawah pokok dan kaki lima.

Selain itu, tinjauan turut mendapati tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan di lokasi sepanjang proses itu berlangsung sehingga kesesakan di pintu utama klinik disebabkan kereta yang diparkir.

Difahamkan, kira-kira 500 murid daripada lima sekolah di bandar ini dijadualkan menjalani ujian calitan Covid-19 hari ini.

Seorang bapa, Norazlan Alias, 50, berkata, dia tiba di klinik terbabit kira-kira pukul 9.30 pagi dan selesai menjalani semua prosedur bekenaan kira-kira pukul 1.40 petang.

“Ibu bapa dan anak-anak diminta melengkapkan dokumentasi sebelum pergi ke khemah yang disediakan untuk menjalani ujian calitan namun proses terbabit dilihat kurang teratur ditambah pula cuaca panas terik.

“Pada pandangan saya lebih baik proses ini diadakan di dewan tertutup seperti yang dibuat baru-baru ini membabitkan kakitangan Alam Flora dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang diadakan di Wisma Belia Indera Mahkota,” katanya.

Bapa kepada tiga anak, Mohd. Kassim, 50, berkata, kedua anaknya menunggu di dalam kereta di luar klinik sementara isterinya membawa anak perempuan bongsu mereka untuk ujian itu.

“Saya dan isteri terpaksa bergilir menunggu selepas dua jam beratur di bawah panas terik dan anak-anak saya kelihatan gelisah kerana terlalu lama menunggu,” katanya.

Seorang lagi bapa dikenali sebagai Derrick Tan, 44, berkata, pihak terbabit sepatutnya menempatkan beberapa anggota Rela bagi mengawal keadaan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Saya berasa kasihan kepada mereka yang tidak mempunyai payung dan terpaksa menunggu dibawah cuaca panas terik lebih-lebih lagi kepada orang Islam yang berpuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN