Berang tidak tutup pintu rumah, lelaki amuk pukul isteri, anak dengan kerusi - Utusan Malaysia

Berang tidak tutup pintu rumah, lelaki amuk pukul isteri, anak dengan kerusi

KERUSI plastik yang digunakan seorang lelaki untuk memukul isteri dan anaknya ekoran perselisihan faham keluarga berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Hanya kerana dikatakan berang anaknya tidak menutup pintu rumah, seorang lelaki naik angin sehingga memukul anaknya itu dan isterinya dengan sebuah kerusi plastik.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Desa Sena di sini.

Sehubungan itu, polis menahan lelaki berusia 44 tahun di rumah mereka kira-kira pukul 2.10 petang selepas menerima laporan daripada isterinya berusia 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Aisisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek dikatakan mengamuk kerana insiden tidak menutup pintu rumah itu sehingga memukul anak perempuannya berusia 19 tahun serta isterinya dengan kerusi plastik berwarna putih.

“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa berasa sakit pada badan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati suspek kerap bertindak sedemikian sebelum ini kerana bersifat panas baran selain menghadapi masalah rumah tangga.

Jelasnya, pasangan itu sudah berkahwin sejak 20 tahun lalu dan tinggal di rumah teres dua tingkat tersebut yang dibeli oleh isterinya yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.

“Suspek yang merupakan bekas tentera dan bekerja kilang sudah tidak bercakap dengan isterinya sejak setahun lalu biarpun tinggal serumah,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya