MELAKA: Kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin mendorong banyak pihak melakukan pelbagai untuk menzahirkan sokongan terhadap umat Islam yang tertindas di Semenanjung Gaza.
UMNO Bahagian Tangga Batu juga tidak mahu ketinggalan untuk turut serta menyatakan sokongan terhadap rakyat negara itu yang kini masih menderita.
Atas semangat tersebut, Ketua Bahagiannya, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mencetuskan idea menjahit bendera Palestin terpanjang dan bakal diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).
Dalam kekangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ia berjaya dijahit dalam tempoh lapan hari sejak 22 Mei lalu.
Bendera sepanjang 1,100 meter atau 1.1 kilometer dengan lebar 1.3 meter telah menelan kos sebanyak RM10,000.
Hasil keringat kira-kira lapan ahli Wanita UMNO bahagian tersebut berjaya dibentangkan di kawasan penambakan laut di Kota Laksamana dekat sini.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, memandangkan ia terlalu panjang, sebanyak 15 kenderaan digunakan bagi membentangkannya.
“Kita bergotong-royong selama lapan hari untuk menjahit bendera Palestin. Walaupun kita tidak dapat berjuang di Palestin, usaha menjahit bendera ini sudah cukup membuktikan betapa prihatin terhadap kesengsaraan mereka.
“Ini menunjukkan kasih sayang kita terhadap umat Islam di Palestin. Kita tidak boleh pergi ke sana untuk membantu tetapi dengan menjahit dan mengibarkan bendera ini, dapat kita hayati kesusahan mereka di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sebanyak empat mesin jahit telah digunakan untuk menjayakan usaha berkenaan bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari sehingga siap di Baitul Tariq, Klebang Permai dekat sini. -UTUSAN ONLINE