GEORGETOWN: Bagi membantu peniaga dan penjaja kecil yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang mengambil inisiatif membeli barangan jualan mereka dan mengedarkannya secara percuma kepada orang ramai.
Presiden Ihsan Muda, Muhd. Arshad Abdul Rahman berkata, buat permulaan, pihaknya membeli 100 biji burger dari seorang peniaga di Batu Lancang, di sini semalam sebagai tanda sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
“Golongan peniaga dan penjaja kecil seperti peniaga burger ini yang paling terjejas selepas waktu operasi perniagaan hanya dibenarkan dibuka sehingga pukul 8 malam.
“Semalam, kita tempah 100 biji burger daripada peniaga di Batu Lanchang dan kita edarkan secara percuma kepada orang ramai yang singgah untuk membeli burger di sini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhd Arshad, bantuan kepada peniaga dan penjaja dengan kaedah membeli barangan jualan peniaga kecil itu akan diteruskan sepanjang pelaksanaan PKP.
“Kita bermula dengan gerai burger dan mungkin selepas ini kita akan bantu beli barangan jualan peniaga makanan lain yang berniaga pada waktu petang.
“Mungkin selepas ini kita akan edarkan apam balik atau tosei pula secara percuma kepada orang ramai,” katanya.
Tambahnya, usaha berkenaan diharapkan dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang bergelut untuk meneruskan perniagaan sepanjang PKP.
“Tempoh PKP ini kita tidak tahu bila akan berakhir namun kita akan bantu peniaga dengan cara ini sehingga kerajaan benarkan waktu operasi perniagaan dipanjangkan atau sehingga PKP ditamatkan.
“Sekurang-kurangnya cara ini dapat membantu peniaga meningkatkan jumlah jualan mereka ketika tempoh sukar ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE