Bekas CEO curiga berlaku aktiviti menyalahi undang-undang dalam 1MDB - Utusan Malaysia

Bekas CEO curiga berlaku aktiviti menyalahi undang-undang dalam 1MDB

Najib Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion.-UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau curiga bahawa syarikat itu menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkaitan pengeluaran bon luar negara bernilai AS$3 bilion.

Mohd. Hazem Abd. Rahman, 47, berkata terbitan bon itu merupakan rancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low selepas mendapat arahan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pernyataan saksinya, beliau memberitahu dalam pertemuan julung kali bersama Jho Low, lelaki itu diperkenalkan sebagai Penasihat 1MDB berkaitan pelaburan dan kutipan dana selain bertindak selaku penasihat tidak rasmi kepada bekas Perdana Menteri.

Menurutnya, walaupun mengesyaki tindak tanduk Jho Low, beliau tidak mendedahkan perkara itu terus kepada bekas Perdana Menteri dan hanya memberitahu secara lisan kepada beberapa pegawai khas dengan harapan perkara itu sampai ke pengetahuan Najib.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, beliau juga tidak memaklumkannya secara rasmi kepada Lembaga Pengarah 1MDB berhubung agenda durjana Jho Low kerana syarikat itu diuruskan oleh Najib selaku individu yang paling berkuasa di negara ini.

Ketika ditanya oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, Mohd. Hazem menafikan bahawa dia tidak melaporkan kepada bekas Perdana Menteri kerana bersekongkol dengan Jho Low terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menurut Wan Aizuddin, saksi itu sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Najib sendiri selaku peringkat tertinggi kerana dakwaan Jho Low bahawa bekas Perdana Menteri yang mengeluarkan arahan berkaitan penerbitan bon merupakan agenda jahat ahli perniagaan itu melemparkan tuduhan serius kepada beliau.

“Satu-satunya sebab mengapa kamu tidak melaporkan perkara itu kepada Najib adalah kerana kamu bersubahat dengan Jho Low,” ujar Wan Aizuddin yang kemudiannya dinafikan oleh Mohd. Hazem.

Mahkamah sedang mendengar pemeriksaan balas terhadap saksi itu pada perbicaraan terhadap Najib yang menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah turut diberitahu, Mohd. Hazem pernah menandatangani beberapa dokumen berkaitan perjanjian yang dimeterai di antara 1MDB Global Investments Limited (GIL), 1MDB, Goldman Sachs Bank USA dan Goldman Sachs International berhubung terbitan bon luar negara.

Menurut saksi, dokumen itu berkenaan urusan penerbitan bon syarikat 1MDB GIL dan beliau hanya bertindak selaku penandatangan namun tidak pernah diberikan dokumen yang penuh atau dijelaskan isi kandungannya.

Peguam bela menyatakan, Mohd. Hazem telah menandatangani dokumen secara membuta tuli mengikut arahan Jho Low walaupun beliau syak aktiviti haram telah berlaku.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN