PASIR MAS: Rakyat tidak perlu bimbang kemungkinan terputus bekalan makanan ketika menyambut Aidilfitri Khamis ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, berkuatkuasa esok.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bekalan makanan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara termasuk di lokasi Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) secara berterusan.
Pihak kementerian, kata beliau, berusaha keras memperkasakan rantaian pergerakan di peringkat pengeluaran bagi memastikan bekalan makanan harian sampai terus kepada pengguna tanpa sebarang masalah.
“Kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan barangan keperluan tidak melebihi harga siling.
“Kita mahu rakyat menikmati bekalan makanan pada harga stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan harian,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tumpat itu menyampaikan Bantuan Bencana Banjir Padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerusi program MAFI Prihatin di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong, di sini hari ini.
Che Abdullah yang juga Setiausaha Pas Kelantan dalam pada itu menegaskan, penguatkuasan PKP di seluruh negara mulai esok yang disifatkan ‘mengejut’ oleh rakyat bukan dibuat secara semberono.
Menurutnya, usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini ialah menyelamatkan seramai mungkin nyawa rakyat daripada menjadi korban Covid-19 di samping memastikan ekonomi negara tidak lumpuh.
“Kebanyakan mereka yang marah berkait dengan pelaksanaan PKP ini adalah orang yang sama.
“Kalau kerajaan tidak buat PKP, maka orang inilah juga yang akan marah dan melabelkan kita tidak tegas dalam mengawal pandemik pula,” katanya. -UTUSAN ONLINE