Bekalan barangan keperluan dijamin cukup - Utusan Malaysia

Bekalan barangan keperluan dijamin cukup

MOHD. RIDZUAN Ab. Ghapar bertanyakan sesuatu kepada seorang pelanggan di sebuah pasar raya di Bayan Lepas, Pulau Pinang ketika melakukan tinjauan pembelian barangan keperluan menjelang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Selasa ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi meskipun negara akan melalui fasa sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sektor sosial dan ekonomi bermula 1 Jun ini. 

Sehubungan itu Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang atau melakukan pembelian panik sehingga boleh menimbulkan masalah lain. 

Jelasnya, pihak pasar raya juga dilihat lebih bersedia dalam berdepan sekatan pergerakan penuh terbaru itu berdasarkan pengalaman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 Mac tahun lalu. 

“Pemilik pasar raya sudah tahu produk makanan yang sering mendapat sambutan pengguna semasa PKP seperti roti, mi segera, telur dan sayur-sayuran dan menambah stok produk terbabit. 

“Kami memberi jaminan stok bekalan barangan keperluan adalah mencukupi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang dijalankan selama dua minggu mulai 1 Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pasar raya di Bayan Lepas, di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Ridzuan, pemantauan pihaknya di beberapa buah pasar raya di sekitar negeri ini hari ini juga mendapati tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna. 

Jelasnya, meskipun wujud situasi di mana orang ramai beratur panjang untuk memasuki premis pasar raya, namun keadaan itu disebabkan kerana mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 sebelum memasuki premis. 

“Memang ada berlaku peningkatan pengunjung sehingga terpaksa beratur panjang terutama di dua buah pasar raya iaitu  di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya hari ini. 

“Tetapi hasil pemantauan kami mendapati tidak berlaku sebarang pembelian panik sehingga menyebabkan kehabisan stok bekalan barangan keperluan. Pihak pasar raya juga akan menambah semula stok yang mula berkurangan,” katanya. 

Hari ini hampir seluruh pasar raya besar di negeri ini diserbu pengunjung yang terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk masuk ke premis berkenaan. 

Rata-rata mereka dilihat sanggup datang sejam lebih awal sebelum pasar raya beroperasi sekitar pukul 9 pagi tadi bagi membeli barangan keperluan sebelum sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan Selasa ini. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya