BDR sepenuhnya bagi penjawat awam kecuali barisan hadapan - Utusan Malaysia

BDR sepenuhnya bagi penjawat awam kecuali barisan hadapan

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dengan penutupan sektor sosial dan ekonomi bermula Selasa ini, perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata,  semua ketua jabatan harus memastikan bahawa semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan.

“Selain itu, tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan dan perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pelaksanaan BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 Dasar Bekerja Dari Rumah yang jelas memperincikan aspek-aspek perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Mohd. Zuki berkata, sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U.(A) 395 – Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurutnya, kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi 20 peratus dengan tujuan tertentu.

“Ia termasuk bagi urusan pembayaran kontrak, invois dan gaji; pembayaran, pengagihan bantuan bulanan berkala kepada rakyat; penyelenggaraan dan keselamatan premis; pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem dan mesyuarat atas talian serta penyediaan kertas dan dokumen melibatkan Jemaah Menteri.

“Urusan itu membabitkan penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimum empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja,” katanya.

Katanya, pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidak patuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

Jelasnya lagi, sebarang pengecualian arahan ini perlu mendapat kelulusan daripada Pejabat Ketua Setiausaha Negara. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya