Bazar Aidilfitri tidak patuh SOP dikompaun RM20,000 - Utusan Malaysia

Bazar Aidilfitri tidak patuh SOP dikompaun RM20,000

NOORZAINY Mohd. Noor meninjau operasi beberapa buah bazar Aidilfitri di daerah Butterworth, Pulau Pinang bagi memastikan penganjur dan pengunjung mematuhi SOP Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong di sini dikompaun sebanyak RM20,000 malam tadi selepas didapati gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kompaun itu dikeluarkan pihaknya selepas mendapati penganjur masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) biarpun telah diberi amaran sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati laluan yang sempit di bazar itu menyukarkan penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung selain terdapat gerai yang membenarkan pelanggan melebihi jumlah ditetapkan pada satu-satu masa.

“Kompaun RM20,000 dikeluarkan kepada perbadanan iaitu penganjur, namun, pengunjung mematuhi SOP apabila kesemua mereka memakai pelitup muka.

“Pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengeluarkan notis supaya penganjur mengambil langkah sewajarnya dalam kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi bersepadu di dua bazar Aidilfitri di daerah SPU malam tadi.

Sementara itu Noorzainy berkata, pihaknya berpuas hati terhadap usaha penganjur Karnival Mahabbah di Bertam, Kepala Batas di sini yang menambah baik pelaksanaan SOP selepas diberi amaran minggu lalu.

Jelas beliau, pihak penganjur berjaya memastikan semua teguran pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan MBSP sebelum ini dipatuhi seperti menyediakan laluan keluar-masuk yang sempurna.

“Biarpun pengunjung agak ramai, tetapi penjarakan fizikal dipatuhi dan penganjur mengawal kemasukan 450 orang pada satu-satu masa dengan menyediakan tag khas,” katanya.

Sementara itu Noorzainy berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di bazar Aidilfitri dan bazar Ramadan di daerah itu bagi memastikan penganjur dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN