JOHOR BAHRU: Sambutan ulang tahun ke-40 Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang disambut pada setiap 10 Mei lebih bermakna apabila seorang bayi perempuan selamat dilahirkan pada tarikh itu, semalam
Ibu bayi tersebut, Nur Shafeezatullaily Ibrahim, 34, selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 7.25 pagi disambut oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Sharifah Shahirah Syed Hashim.
Menurut suaminya, Khairul Azizol Jamil, 34, dia tidak menyangka isterinya akan melahirkan puteri kedua mereka pada tarikh sambutan hari ulang tahun ke-40 Hospital Pakar KPJ.
“Semalam, saya hantar isteri ke hospital untuk bersalin dan Alhamdulillah, pada pukul 7.25 pagi dia sudah selamat bersalin. Semua urusan dipermudahkan, tetapi, setakat ini, nama anak belum difikirkan lagi kerana terlalu gembira”, katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Khairul Azizol turut mengucapkan terima kasih kepada Hospital Pakar KPJ Johor atas layanan dan sambutan kelahiran bayi perempuannya dan berharap KPJ Johor terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pesakit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, bayi tersebut adalah yang kedua selamat dilahirkan pada tarikh 10 Mei selepas kali terakhir pada 40 tahun lalu semasa penubuhan Hospital Pakar KPJ Johor itu pada 1981.
“Kami berbesar hati dan turut meraikan kegembiraan bersama-sama keluarga bayi itu sempena ulang tahun ke-40 Hospital pakar KPJ Johor.
“Mereka turut menerima sebuah kerusi bayi dalam kereta secara percuma dan cenderahati daripada pihak pengurusan hospital ini,” katanya.
Dalam pada itu, sempena ulang tahun tersebut, beberapa inisiatif turut diperkenalkan bagi membantu golongan B40 untuk mendapatkan rawatan secara percuma hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan di bawah Hospital Sultan Ismail, seramai 40 pesakit B40 akan menerima rawatan pembedahan secara percuma bagi tiga kategori pembedahan iaitu katarak, mastektomi dan tiroid.
Manakala kerjasama dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor pula akan melibatkan seramai 40 pesakit golongan itu yang akan diberikan rawatan saringan kanser PET-CT secara percuma di Hospital Pakar KPJ Johor. -UTUSAN ONLINE