ALOR SETAR: Situasi Covid-19 terutamanya ketika rakyat perlu akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas tidak melemahkan semangat peniaga baulu panas viral di Kompleks Pekan Rabu di sini.
Sebaliknya menurut pemiliknya, Fatimah Harun, 53, dia mengorak langkah memperkenalkan jual beli secara dalam talian dan khidmat tunai ketika penghantaran (COD) pelanggan bagi mengatasi pengurangan pendapatan yang diraih hampir 50 peratus gara-gara pandemik itu
“Dulu kami mampu raih lebih pendapatan kasar RM95,000 sekarang sejak pandemik RM40,000 hingga RM50,000 sebulan sekarang tidak menentu terutama ketika PKP susah nak dapat pelanggan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup.
“Jadi saya dan suami, Jamaludin Osman, 58, memperkenalkan jualan secara dalam online dan COD. Ke mana saja kami hantar sampai ke sempadan sekatan jalan raya (SJR) demi memenuhi permintaan pelanggan terutama yang setia,” katanya di sini, semalam.
Tambahnya, dia tidak mempunyai pilihan, selain mencari jalan terbaik demi kelangsungan bisnes yang diceburi sejak 15 tahun lalu.
“Saya terpaksa memikirkan nasib pekerja saya juga kerana mereka perlu mempunyai keluarga untuk disara apatah lagi ketika Hari Raya, saya juga mempunyai tiga unit premis yang perlu dibayar sewa setiap bulan,” katanya.
Bagi memenuhi tempahan hari raya, katanya, mereka menggunakan lebih 2,000 biji telur dan 50 kilogram tepung untuk menghasilkan lebih 25,000 biji baulu setiap hari.
“Saya tidak nafikan, pendapatan sekarang sejak pandemik menyebabkan bisnes merudum terutama musim perayaan sebelum ini, tetapi, demi meneruskan perniagaan, saya dan suami cari jalan lain,” katanya.
Tambahnya, bahulu tersebut menjadi kegemaran ramai kerana ia dijual terus dari oven.
“Ini adalah kelebihan bahulu panas Emanis ini selain rasanya yang ranggup di luar lembut di dalam,” katanya.
Tambahnya, bagi mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 0124769588, atau pergi ke aplikasi Shopee, Emanis Baulu Panas.-UTUSAN ONLINE