Baru mahu ramai pengunjung, sudah kena tutup - Utusan Malaysia

Baru mahu ramai pengunjung, sudah kena tutup

PARA peniaga kerepek dan biskut raya mendakwa tidak mendapat keuntungan daripada jualan mereka di bazar Aidilfitri kali ini selepas diarah tutup beberapa hari menjelang sambutan perayaan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga-peniaga di bazar Aidilfitri di negeri ini meluahkan rasa hampa dan kecewa apabila terpaksa membungkus operasi perniagaan lebih awal biarpun berbaki hanya dua hari untuk menyambut Hari Raya Puasa.

Hampir sebilangan besar mereka terkilan dengan arahan penutupan bazar Aidilfitri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini bermula semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Aidilfitri Bayan Baru dan Bayan Lepas di sini lewat malam kelmarin mendapati, para peniaga meletakkan harga diskaun paling maksimum bagi produk jualan sebelum menutup operasi pada pukul 12 tengah malam.

Peniaga kuih tradisional dan kerepek, Shukri Baharuddin, 30-an, berkata, luluh hatinya apabila dimaklumkan mengenai arahan penutupan bazar Aidilfitri ketika pengunjung mula ramai sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, tempoh dua hari menjelang perayaan Aidilfitri adalah masa untuk peniaga kecil mencari pendapatan daripada hasil keuntungan perniagaan.

“Belum sempat mengumpul semula modal yang dikeluarkan kira-kira RM10,000 untuk pembelian stok kerepek tahun ini termasuk menjelaskan sewa tapak berharga RM1,500, sudah diarah tutup.

“Sepatutnya, beri peluang kepada kami berniaga ketika berbaki dua hari sahaja lagi untuk menyambut hari raya. Inilah peluang kami dapat semula modal dan untung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Shukri memberitahu, tiada lagi amalan pemberian duit raya pada tahun ini berikutan perniagaannya terjejas teruk manakala baki stok kerepek serta biskut yang tinggal terpaksa dijadikan sebagai juadah di pagi raya.

Sementara itu, seorang peniaga kasut, Azlina Mat Isa, 48, memberitahu, dia terpaksa akur dengan arahan kerajaan kerana bimbang dikenakan kompaun ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Baru hendak merasai suasana kemeriahan pengunjung sejak Jumaat lalu, diarah tutup pula. Kami tak sempat jual suku daripada stok kasut yang dipasarkan, apatah lagi belum habis menjejaskan sebahagian duit sewa tapak.

“Sedih dengan apa yang berlaku kerana kami hanya mengharapkan hasil keuntungan daripada perniagaan kasut tahun ini. Ingatkan dapatlah merasai wang hasil jualan untuk dibelanjakan pada hari raya nanti, tetapi, sebaliknya,” ujarnya dalam nada sayu.

Dalam pada itu, penganjur bazar Ramadan Bayan Baru, Zamri Hashim berkata, dia juga berdepan kerugian sehingga RM25,000 apabila masih terdapat 10 kekosongan daripada 40 tapak perniagaan yang disediakan tahun ini.

“Sepatutnya, dua hari ini akan ada lagi peniaga yang akan masuk ke bazar dan sanggup membayar sewa tapak dengan jumlah yang penuh.

“Bukan sahaja peniaga, saya rugi besar termasuk perlu membayar gaji mingguan kepada pekerja-pekerja, tukang sapu sampah dan sebagainya,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya