Bapa hilang lima hari di ladang sawit ditemukan - Utusan Malaysia

Bapa hilang lima hari di ladang sawit ditemukan

MUHAMAD Faizal Abdul Manan ditemukan selamat selepas hilang lima hari dari rumahnya di Felda Jengka Satu di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Bapa berusia 55 tahun yang hilang selama lima hari sejak 29 April lalu ditemukan selamat di sebuah pondok buruk dalam ladang Felda Jengka Satu pada pukul 6.30 petang semalam.

Ketua Kampung Felda Jengka Satu, Abdullah Ani berkata, individu berkenaan, Muhamad Faizal Abdul Manan yang mempunyai masalah mental disedari hilang dari rumahnya pada pukul 4 pagi.

Menurut Abdullah, usaha mencarinya digerakkan pada 30 April lalu melibatkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di sekitar kawasan ladang sawit Felda Jengka Satu.

“Setelah lima hari hilang, individu itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 6.30 petang dalam sebuah pondok tinggal milik peneroka.

“Ketika ditemukan, lelaki itu dalam keadaan tidak terurus, tidak berpakaian, kesejukan dan tidak bermaya kerana tidak makan beberapa hari. Bagaimana dia bertahan, tidak makan menjadi tanda tanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, sukarelawan Biro Keselamatan Felda Jengka Satu, Kamal Abdul Rahman, 54, berkata, lelaki itu ditemukan oleh seorang penternak lembu yang kebetulan melalui kawasan pondok usang tersebut.

“Penternak lembu itu, Mohd. Zaki Wan Chik atau Aki memaklumkan melihat mangsa terbaring, tidak terurus, lapar dan kesejukan di pondok berkenaan.

“Dia berteduh di pondok buruk kerana sebelum itu hujan lebat, semasa operasi mencarinya, pasukan sukarelawan pernah mencari mangsa di pondok itu, tetapi tidak berjumpa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN