PETALING JAYA: Seramai 100 pemandu bas pelancong menerima insentif sebanyak RM300 seorang berikutan terjejas pandemik Covid-19.
Pengerusi Malaysia Tourism Council ( MTC), Uzaidi Udanis berkata, penggiat industri ini amat terkesan, malah, ada yang terpaksa menanggung beban yang berat dan mencari punca rezeki yang lain demi sesuap nasi untuk keluarga mereka.
“Bantuan ini diberikan secara ‘one-off’ kepada 100 orang pemandu bas yang terjejas, malah, apa yang lebih menyedihkan apabila ada penggiat industri ini mengalami penyakit kronik seperti jantung dan buah pinggang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu pihak MTC telah melancarkan satu konsert amal secara dalam talian bagi mengumpul dana untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan jumlah tontonan lebih 20 ribu penonton mengikuti konsert tersebut.
“Kita telah berjaya mengumpul lebih RM30,000 menerusi acara tersebut dan semua sumbangan tersebut akan diagihkan kepada 100 pemandu bas pelancong yang terjejas,” ujarnya.
Tambahnya, konsert secara dalam talian tersebut telah diadakan pada 30 April 2021 menerusi platform Malaysia Virtual Experience yang dibangunkan oleh Malaysia Productivity Corporation.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP), Wan Shairi Wan Ahmad berkata, lebih kurang 6,604 pengusaha bas persiaran terkesan kerana menyertai Tahun Melawat Malaysia 2020.
Ada juga yang sanggup membeli bas baharu demi menyahut saranan tersebut, namun, sekarang, hampir semua terkesan dan sehingga hari ini kami tidak mendapat moratorium.
“Sedangkan pendapatan kami adalah kosong, jadi, mengapa kami tidak layak mendapatkan moratorium seperti mana industri lain?,” soalnya.
Menurut Wan Shairi, ramai yang tidak tahu bahawa pemandu bas amat terkesan dari segi fizikal mahupun mental sehinggakan ada kes yang melibat terjun bangunan di Sentul.
“Kami berharap pihak berwajib dapat memberi perhatian yang lebih kepada pemandu bas dalam industri pelancongan ini serta berharap pihak MTC dapat mengadakan satu sesi kaunseling bersama para pemandu.
“Ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan mental dan emosi mereka yang sangat terkesan ketika ini,” katanya.