KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM420,000 bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bersasar itu membabitkan mereka di mukim Kuala Berang dan daerah Kuala Terengganu.
“Sebelum ini, kerajaan negeri sudah menyediakan bantuan bersasar kepada daerah Besut yang turut berdepan PKPD.
“Saya meminta rakyat untuk kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan prosedur operasi standard (SOP). Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, sebaliknya marilah kita berganding bahu dan bersatu hati untuk memutuskan rangkaian Covid-19,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Mukim Kuala Berang di Hulu Terengganu dikenakan PKPD berkuatkuasa hari ini hingga 11 Jun berikutan 37 kes positif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang dikesan di mukim berkenaan.
Manakala seluruh daerah Kuala Terengganu pula bakal dikenakan PKPD bermula esok dengan melibatkan 21 mukim susulan peningkatan kes ketara sepanjang bulan ini. -UTUSAN