LIPIS: Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) diminta memantapkan sistem pentadbiran di peringkat kampung selari dengan usaha kerajaan melaksanakan perancangan dan pengurusan yang lebih sistematik.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, JKKK harus bergerak selari dengan dasar pembangunan kerajaan supaya masyarakat kampung bernaung di bawah organisasi itu turut menikmati manfaat menerusi pelbagai insentif tertentu.
“Kerjasama dan kepakaran pengurusan JKKK ditagih untuk membangunkan kampung masing-masing termasuk hal ehwal kebajikan dan sosial penduduk.
“Dalam arus pembangunan hari ini, pengurusan JKKK wajar melengkapkan pelbagai bentuk maklumat dan informasi yang dapat dikongsi sebagai keperluan penting untuk merancang pembangunan termasuk kewangan bagi peruntukan setempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan Pengerusi JKKK Parlimen Lipis di Lipis, semalam.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, Pengerusi Ketua-ketua Kampung Lipis, Datuk Zulkifli Othman dan Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohd. Nor.
Terdahulu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis turut menyampaikan bantuan komputer riba dan alat pencetak yang bernilai RM231,000 dan duit raya sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Lipis kepada seramai 70 orang Pengerusi JKKK.
Menurut Abdul Rahman, bantuan peralatan teknologi tersebut sebagai usaha untuk melengkapkan pengurusan JKKK di Lipis dengan pelbagai maklumat menerusi kemahiran perhubungan secara dalam talian yang lebih pantas dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Dengan adanya peralatan ini, JKKK dapat bergerak serta bersaing dengan agensi kerajaan sekali gus dapat membantu pemimpin setempat mengenai perancangan pembangunan kawasan masing-masing.
“Hal ini juga menepati usaha JKKK bertanggungjawab ke atas kemajuan masyarakat dan kampung, menyatupadukan penduduk serta membina kehidupan masyarakat yang selamat dan sejahtera,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau dan rakan ketua kampung berterima kasih kepada Abdul Rahman kerana menyumbangkan peralatan tersebut yang mampu melengkapkan pengurusan JKKK lebih cemerlang.
“Pembangunan global berasaskan teknologi maklumat serta inovasi mewajarkan semua ketua kampung menggunakan peralatan ini (komputer) dan internet dalam tugas harian.
“Memandangkan kawasan kampung di Lipis terletak berjauhan antara satu sama lain, kemudahan ini menjadi pelantar bagi ketua kampung berhubung dengan rakan sejawat mengenai pembangunan, kolaborasi sesuatu idea dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE