Baju raya, tudung tak laku akibat PKP - Utusan Malaysia

Baju raya, tudung tak laku akibat PKP

SITI Mariani Abdul Manaf (kanan) bersama pembantunya menunjukkan jualan tudung bawal yang sebelum ini mendapat perhatian ramai, namun kini kurang sambutan ekoran PKP di Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ramadan hanya berbaki dua hari lagi namun baju raya dan tudung dalam koleksi para peniaga yang biasanya laris menjelang 1 Syawal masih berlambak.

Realiti pahit itu terpaksa ditelan rata-rata peniaga di pusat beli-belah sekitar bandar ini, gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini yang berlanjutan sejak hampir sebulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Mariani Abdul Manaf, 39, yang lebih 10 tahun berniaga pakaian berkata, jualan di kedainya pernah mencecah RM10,000 sehari suatu ketika dulu namun kini merosot teruk hingga 80 peratus.

“Disebabkan rakyat tidak boleh rentas daerah, baju raya dan tudung yang saya jual tidak laku. Sekarang nak dapatkan balik modal pun susah. Ini dugaan yang terpaksa kami harungi dalam keadaan kos sara hidup serba-serbi naik.

“Jika PKP di Kelantan dilanjutkan lagi akibat kes Covid-19 yang dikatakan tinggi, maka ramai peniaga seperti saya gulung tikar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, pembantu di sebuah butik pakaian, Puteri Alia Maisara Azizi, 18, berkata, dia yang bergantung kepada komisen hasil jualan baju kini hanya mampu duduk termenung menanti pelanggan yang tidak kunjung tiba.

“Jualan di butik kami sekarang terlalu perlahan biarpun sudah dekat nak raya. Saya tengok orang ramai tidak lagi teruja buat persiapan sambut hari raya seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengunjung di sebuah pasar raya, Zainab Mahmud, 75, berkata, persiapan Aidifitri tahun ini dibuat ala kadar tanpa membeli pakaian baharu seperti kelaziman.

“Dalam suasana Covid-19 ada di mana-mana, saya lebih suka duduk di rumah. Hari ini saya keluar pun sekadar menemani cucu Nur Athirah Najwa Mohd Nazri, 13, yang mahu membeli kasut baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya