JOHOR BAHRU: Gara-gara ‘terkandas’ di Singapura, seorang rakyat Malaysia meluahkan perasaan sedih kerana sudah dua tahun tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang berada di negara ini.
Shahruddin Haeal Helmy Mohd. Noh, 35, berkata, dia terpaksa menetap di negara republik itu buat waktu ini agar dapat terus bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarganya.
Katanya, adakalanya dia dan rakan-rakan senegara yang lain berasa seperti putus harapan khususnya apabila mengharapkan sempadan negara dapat dibuka dalam waktu terdekat.
“Bagi kami yang terkandas di sini memang realistik, kami sudah tahu yang kes Covid-19 menyebabkan tambak tidak akan dibuka dalam waktu terdekat.
“Setiap kali berita pertemuan pemimpin Singapura dan Malaysia, kami memang berharap tambak dibuka tetapi kadangkala tak mampu berharap lagi.
“Jadi apa yang dapat kami buat ketika ini hanya berdoa agar ada keajaiban berlaku dan kami dapat segera pulang bertemu keluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Shahruddin Haeal Helmy merupakan antara ribuan rakyat negara ini yang kekal berada di Singapura untuk meneruskan pekerjaan mereka dalam keadaan tidak dapat pulang sejak sempadan negara ditutup pada 18 Mac tahun lalu.
Katanya lagi, dia telah meminta isterinya untuk membelikan sepersalinan baju Melayu sejak tahun lalu lagi dengan harapan dapat menyambut ketibaan Syawal bersama.
“Saya pesan kepada isteri supaya beli baju yang sepasang warnanya dengan anak-anak tetapi dari tahun lepas sampai sekarang saya belum dapat pakai baju itu. Isteri hanya gantung dalam almari dan dia bergambar dengan anak-anak pakai baju mereka.
“Perasaan memang sedih apabila tak dapat beraya dengan isteri, anak-anak dan emak,” katanya yang memiliki dua orang cahaya mata.
Tambahnya lagi, dia membuat keputusan untuk kekal bekerja di Singapura buat ketika ini kerana kos yang terlalu tinggi untuk pulang ke Malaysia selain perlu mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh 35 hari kuarantin dan bercuti yang diambil ketika di Malaysia.
“Kalau balik ke Malaysia sekarang sukar, lebih-lebih lagi untuk mendapat kerja dan gaji yang saya dapat sekarang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE