AW139 kesan dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan - Utusan Malaysia

AW139 kesan dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan

ANTARA bot nelayan Vietnam yang ditahan menceroboh perairan Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua bot nelayan Vietnam bersama 10 kru yang menceroboh perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Op Kuda Laut, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, kedua-dua bot itu ditahan di kedudukan 78 dan 80 batu nautika barat laut dari Kuala Terengganu, antara pukul 8 hingga 10 malam.

Katanya, pencerobohan bot nelayan asing itu dikesan pesawat AW139 semasa rondaan udara bersama Jabatan Perikanan negeri di Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia sebelum dimaklumkan kepada Kapal Maritim (KM) Nusa.

“Pemeriksaan mendapati kesemua kru yang berusia antara 17 hingga 61 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah di samping tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

“Kita turut merampas hasil tangkapan, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai hampir RM3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua tahanan dibawa ke Maritim Malaysia Terengganu dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama, katanya, sejak pelaksanaan Op Kuda Laut, pihaknya berjaya menahan 94 bot nelayan Vietnam di samping 1,032 kru.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

Katanya, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya