AstraZeneca: Kementerian Kesihatan pantau kes darah beku - Utusan Malaysia

AstraZeneca: Kementerian Kesihatan pantau kes darah beku

DR. DHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memantau jika berlaku kejadian darah beku selepas sejumlah 268,800 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca mula diberikan kepada orang ramai mulai esok.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kesan sampingan dengan kejadian darah beku itu sangat jarang berlaku, namun, ia mengambil kira faedahnya dalam mencegah jangkitan Covid-19 mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin itu.

Kata beliau, pihaknya memberikan jaminan bahawa rawatan segera diberikan jika kes tersebut benar-benar berlaku, justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau tahap kesihatan mereka.

“Orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala-gejala berikut dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin AstraZeneca seperti sakit kepala yang teruk tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit atau sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok.

“Sakit kepala luar biasa disertai dengan pandangan kabur, loya dan muntah, sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan selain mengalami bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan selain sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adham berkata, bagi pangamal perubatan yang merawat kes tersebut pula, perlulah menyiasat sama ada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.

Katanya, pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sama ada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.

Sehubungan itu, jelasnya, pemeriksaan-pemeriksaan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera.

“Rawatan serta merta perlu diberikan jika keputusan ujian menunjukkan pembekuan darah benar-benar berlaku.

“Pakar hematologi (hematologist) perlu dihubungi dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat. Pengamal perubatan juga perlu membuat laporan Adverse Event Following Immunisation (AEFI) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Mengulas lanjut, Adham memberitahu, data-data klinikal di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa vaksin AstraZeneca adalah sangat berkesan terutamanya untuk mencegah jangkitan Covid-19 yang teruk, kes yang memerlukan kemasukan wad dan kematian.

Katanya, badan regulatori antarabangsa termasuk UK dan European Medicine Agency (EMA) juga mengesahkan vaksin tersebut sangat berkesan dan faedahnya dalam mencegah jangkitan Covid-19 adalah mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN