Asam rong perah juadah tambat selera berbuka puasa - Utusan Malaysia

Asam rong perah juadah tambat selera berbuka puasa

ABDUL Jalil Abd. Rahman menunjukkan persiapan juadah asam rong dan ulam-ulaman sebagai juadah berbuka puasa di rumahnya di Kampung Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Masyarakat di kawasan Hulu Tembeling dekat sini, kebiasaannya pada bulan Ramadan dan hari-hari biasa sudah sinonim dengan asam rong buah perah sebagai juadah berbuka puasa, makan tengah hari dan juga kenduri-kendara.

Sejak dari zaman dahulu, rong perah menjadi juadah dimakan bersama nasi dan masakan ikan kelah, ikan patin, ikan kenerak campuran asam tempoyak termasuk ulam-ulaman yang cukup menambat selera ahli keluarga dan tetamu.

Kebiasaannya, selain rong perah dijadikan juadah, asam rong yang diperbuat daripada isi biji getah juga popular dalam kalangan masyarakat pedalaman daerah ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, isi rong yang siap diproses dimasak bersama ikan liar Sungai Tembeling sebagai juadah berbuka puasa bagi kalangan penduduk tempatan.

“Bagi kami, jika tidak ada asam rong, selera tidak menjadi. Maka asam rong sebagai penambat selera pada waktu berbuka puasa atau hari biasa.

“Ada asam rong, ikan sungai dan ulam-ulaman pun memadai waktu berbuka puasa lebih lagi tekanan perbelanjaan ketika berdepan kenaikan harga barang dan penularan Covid-19 menyebabkan penduduk Hulu Tembeling memilih makanan tempatan yang mudah didapati di sini,” katanya di Kampung Kuala Tahan dekat sini semalam.

Abdul Jalil berkata, juadah yang serba ringkas tersebut boleh dimakan bersama ulam-ulaman pucuk betik, pucuk beboli, putik buah ara, isi temu (kumpulan halia) dan tumbuhan liar tertentu.

“Tidak terungkap dengan kata-kata, begitu berselera sekali menjamah juadah asam rong perah ketika berbuka puasa apatah lagi dihidangkan masakan ikan patin, kelah, kenerak campuran asam tempoyak.

“Asam rong juga boleh dicampur dengan masakan berasaskan ikan Sungai Tembeling, tetapi rasanya lebih menyelerakan apabila juadah ini dimasak lebih pedas,” katanya.

Tambahnya, jika teringin makan asam rong sebagai juadah berbuka puasa, rancanglah percutian ke Taman Negara dengan menginap di pusat inap tempatan pesisir Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya