JERANTUT: Penjajahan British di negara ini bukan sahaja mengamalkan dasar pecah dan perintah berasaskan dominasi cengkaman ekonomi dan sosial, tetapi turut meninggalkan artifak di merata tempat.
Di Pahang, penemuan bangkai kapal peninggalan British pada sekitar 1820-an di Sungai Lipis berdekatan Penjom, Lipis pada bulan Januari lalu merupakan antara artifak negara Union Jack itu membuktikan legitimasi kuasa penjajah tersebut di negeri ini.
Sebuah lagi artifak dalam era kolonial Britsih menjadi bahan bukti kesan penjajahan Inggeris di Pahang, iaitu alat pemecah batu ataupun stone breaker di Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.
Peralatan logam pemecah batu itu terbiar berdekatan jeti pelancong di pintu masuk Mutiara Resort Taman Negara (MRTN) sememangnya sinonim dengan penduduk tempatan, tetapi jarang ‘dikisahkan’ kerana rata-rata mereka tidak tahu membuat deskripsi nilai sejarah.
Menerusi catatan pada alat tersebut, pembuatnya ialah seorang jurutera British, W.H. Baxter dari syarikat Baxter and Co of Albion Street, Leeds, England.
Peralatan dalam bidang kejuruteraan itu berkemungkinan dibawa ‘belayar’ dari England sekitar 1930-an atau beberapa tahun kemudian ke negara ini selepas tamat Perang Dunia Pertama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, peralatan logam itu mungkin dibawa oleh jurutera berbangsa Inggeris ke Taman Negara selepas mula dibuka pada 1938/1939 atau selepas tarikh itu.
“Menerusi sedikit maklumat daripada orang-orang tua di sini, alat ini digunakan untuk memecah (penghancuran) batu dan pengadun bahan konkrit dalam bidang kejuruteraan pembinaan.
“Difahamkan orang Inggeris yang bermukim di sini ketika awal pembukaan taman ini cuba membina sebuah bangunan batu di laluan sebelum sampai puncak Gunung Tahan, iaitu sebuah tempat dikenali sebagai Gunung Padang,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan di sini semalam.
Abdul Jalil berkata, alat ‘stone breaker’ berkemungkinan digunakan untuk memecahkan dan menyurai batu-batan di kawasan Taman Negara bagi tujuan pembinaan premis berkenaan termasuk kerja kejuruteraan yang lain.
“Tetapi, kerja pembinaan ini tidak siap kerana keadaan geografi di laluan ke Gunung Tahan terlampau curam dan berbahaya menyukarkan kerja lojistik seperti memunggah peralatan itu, batu-batan termasuk barang pembinaan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini kesan pembinaan itu cuma hanya tinggal tapak sahaja di laluan berdekatan Gunung Padang yang mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat hari dari chalet MTNR.
Beliau berkata, alat diperbuat daripada logam berkualiti tinggi itu kini terdampar atas tebing pesisir Sungai Tembeling berdekatan jeti di pintu masuk MTNR sejak hampir seusia pembukaan pusat pelancongan di situ kira-kira 83 tahun yang lalu.
“Penduduk di sini berasa hairan dan pelik bagaimana orang Inggeris membawa alat logam itu yang sangat berat tidak terangkat oleh tenaga manusia ke taman ini.
“Lagipun, pada era 1930-an hingga 1970-an, perhubungan ke sini cuma menggunakan perahu galah dari jeti Kuala Tembeling yang mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke Kuala Tahan,” ujarnya.
Tambahnya, sejarawan tempatan dan pakar kejuruteraan dari pusat pengajian tinggi negara ini perlu tampil membuat kajian kerana artifak itu sebahagian daripada khazanah sejarah yang boleh menambat hati pengunjung selain keindahan hutan tropika taman itu. -UTUSAN ONLINE