BATU PAHAT: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket arak tidak berlesen di daerah ini yang bernilai RM1.3 juta di Taman Cahaya Baru, Yong Peng, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan menerusi Op Kontraban oleh sepasukan polis dari Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri Muar itu, lelaki warga tempatan yang dipercayai merupakan penjaga stor berusia 41 tahun, turut ditahan.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintenden Rozasin Ramlan berkata, dalam serbuan pada pukul 10.15 pagi itu, pihaknya telah merampas 854 kotak arak pelbagai jenama menggunakan setem cukai Kastam yang dipercayai palsu.
“Sebanyak 21,470 botol melibatkan 9,746 liter lingkungan 33 peratus hingga 40 peratus kandungan alkohol ditemui dalam sebuah stor syarikat yang menjual arak.
“Kami percaya terdapat saki-baki sindiket yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan manakala suspek yang ditahan pula direman selama sehari di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihak Batalion 6, PGA Bakri Muar telah melakukan 10 serbuan melibatkan Op Kontraban di sekitar negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM4.6 juta.
“Serbuan dilakukan daripada 1 Januari hingga semalam berjaya menahan seramai 22 suspek berusia 17 hingga 56 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan melibatkan barang-barang kontraban.
“Antara barangan yang dirampas adalah rokok, arak, dadah, mercun dan kenderaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE