Angka korban di Kelantan naik 3 kali ganda - Utusan Malaysia

Angka korban di Kelantan naik 3 kali ganda

PETUGAS Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menjalankan saringan di Pusat Saringan Covid-19 di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angka korban pesakit Covid-19 di Kelantan naik mendadak hingga tiga kali ganda apabila 117 kematian direkodkan di seluruh negeri sepanjang Mei, berbanding hanya 37 kematian pada April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, perkembangan itu menunjukkan keadaan pandemik di Kelantan belum reda, malah mungkin memburuk dalam masa terdekat.

“Keadaan diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang suka ‘gelewak’ (berkeliaran) di luar rumah tanpa urusan penting.

“Aktiviti ziarah raya sejak 1 Syawal dan solat jemaah di surau sepanjang Ramadan lalu mengakibatkan sebanyak 17 kluster baharu Covid-19 tercetus di seluruh negeri. Terbaharu, 37 lagi dijangkiti Covid-19 selepas solat jemaah di Kampung Chetok, Pasir Mas.

“Jika rakyat terus ingkar SOP, saya tidak menolak kemungkinan kes di Kelantan boleh meningkat melebihi 1,000 kes sehari pada Jun ini memandangkan virus ini sudah berada dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.

Menurut Dr. Izani, sehingga hari ini, sebanyak 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah dibuka di seluruh negeri dan kesemuanya hampir penuh, ekoran jumlah kes harian yang sentiasa tinggi.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 695 kes hari ini iaitu kedua tertinggi selepas Selangor dengan 2,111 kes. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya