Anggota polis cedera dilanggar van enggan berhenti pemeriksaan - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera dilanggar van enggan berhenti pemeriksaan

KEADAAN sebuah van yang terbabit kemalangan dengan kenderaan polis selepas pemandunya cuba melarikan diri dalam pemeriksaan polis dalam satu kejadian di Taman Cengal Utama, Seremban, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota polis patah kaki kiri apabila dilanggar sebuah van yang pemandunya enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan polis dalam kejadian di Taman Cengal Utama, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi itu, semasa anggota unit kereta peronda (MPV) sedang bertugas membuat rondaan di sekitar kawasan Kampung Sentosa, Paroi, telah terserempak dengan sebuah van jenis Nissan Vanette.

Menurutnya, kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak berhenti selepas diarahkan. 

Jelasnya lagi, anggota MPV telah meminta bantuan dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) 1 Balai Polis Senawang sampai untuk memberikan bantuan. 

“Semasa mengekori sehingga sampai di kawasan Taman Cengal Paroi, suspek telah membuat pusingan U dan telah melanggar URB 1 Senawang. Kemudian, berlaku kejar mengejar sehinggalah suspek cuba membuat pusingan U lagi sekali dan telah melanggar kereta MPV sehingga mengalami kerosakan.

“Kemudian, hilang kawalan dan telah melanggar tiang elektrik. Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menjumpai kayu sepanjang  120 sentimeter (sm) dengan dipasang dengan sebilah sabit sepanjang 37sm.

Malah menurutnya, pemeriksaan pada cukai jalan yang tertampal pada cermin hadapan kenderaan dan nombor pendaftaran yang digunakan suspek juga adalah palsu.

“Pemeriksaan tubuh suspek pula mendapati terdapat beg silang warna hitam yang mengandungi sebotol kaca yang diubah suai sebagai alat untuk menghisap dadah dan dua tiub straw berwarna putih berjalur biru yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan yang disyaki dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 0.75 gram. 

“Suspek didapati positif morphine dan mempunyai beberapa rekod jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987.

Tambah Mohd. Said, bagi kesalahan membabitkan dadah, suspek disiasat di bawah Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952. 

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya