PETALING JAYA : Orang ramai dinasihatkan bertenang susulan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia memandang serius berkenaan langkah-langkah perlu akan diambil untuk meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Kata beliau, PDRM juga akan sentiasa bersiap siaga dan akan memantau isu ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata, PDRM bersama agensi keselamatan telah meningkatkan kawalan keselamatan bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.
Kata beliau, keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.
Malah, kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.
Terdahulu, tular dalam media sosial dan aplikasi sembang mengenai dua badan perisikan Israel dilaporkan mendapat ‘lampu hijau’ untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia.
Perkara itu dilaporkan oleh blog WarNews247 yang memetik laporan disiarkan oleh sebuah stesen penyiaran televisyen Israel.
Katanya, pemimpin Israel didakwa sudah mengarahkan badan perisikan negara itu, iaitu Shin Bet dan Mossad untuk melaksanakan tugas berkenaan.
WarNews247 dipetik berkata, badan perisikan Israel dikatakan akan menyasarkan negara-negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang dikatakan memberi sokongan, membiayai kewangan dan melatih pejuang Hamas.-UTUSAN ONLINE