Anak Najib pula terima notis bankrap - Utusan Malaysia

Anak Najib pula terima notis bankrap

MOHD. NAZIFUDDIN NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak sampai beberapa minggu selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengemukakan notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kini giliran anaknya pula menerima nasib yang sama.

Datuk Mohd. Nazifuddin telah diserahkan notis kebankrapan daripada agensi terbabit pada 30 April lalu selepas lelaki terbabit didakwa gagal melunaskan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Pada 5 Julai 2020, Mahkamah Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Mohd. Nazifuddin untuk menuntut tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta dan sehingga kini tiada sebarang pembayaran dibuat.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Berdasarkan Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar tunggakan cukai terbabit perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun telah memfailkan rayuan.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili anak Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan anak guamnya telah menerima notis kebankrapan tersebut dan pada 6 Mei lalu, pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan notis terbabit.

“Pihak kami akan memfailkan satu lagi permohonan untuk menangguhkan prosiding kebangkrapan itu. Ia akan difailkan sebelum 9 Jun ini. Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 21 Jun,” katanya ketika dihubungi media selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ida Rahayu Sharif di sini semalam.

Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus dan Peguam Hasil, Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

Mengikut dokumen yang diperoleh media semalam, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu terhadap Mohd. Nazifuddin, 38, selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Mohd. Nazifuddin perlu membayar RM37.6 juta dan kos sebanyak RM10,000 menjadikan jumlah terkini tunggakan yang perlu dilunaskan ialah RM38,758,370.93.

Pada 4 April lalu, LHDN memfailkan notis untuk membankrapkan Najib atas kegagalannya membayar tunggakan cukai pendapatan termasuk faedah berjumlah RM1,738,804,204.16. Jumlah itu merangkumi kos mahkamah sebanyak RM15,000.

Rayuan Najib dan anaknya itu berhubung tuntutan cukai tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 16 Jun ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN