PUTRAJAYA: Pencapaian anak-anak muda terutama dalam bidang pendidikan dan sukan membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing di persada antarabangsa dan merealisasikan potensi dan kemampuan diri masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di sebalik pandemik Covid-19, golongan belia menunjukkan semangat cekal dan tabah dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan merentasi pelbagai bidang.
Kata beliau, ini terbukti dengan pencapaian dua anak muda, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen terpilih melanjutkan pelajaran ke Harvard College, Amerika Syarikat, iaitu sebuah universiti terkemuka dan antara yang terulung di dunia.
Selain itu, menurut Perdana Menteri, atlet-atlet negara turut melakar kejayaan dalam bidang sukan melalui kejayaan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengharumkan nama negara merangkul kejuaraan dalam Kejohanan All England 2021.
“Begitu juga dengan prestasi cemerlang ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia (Fina) 2021 dan raja pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sharom yang mengungguli Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Australia.
“Saya amat bangga dan kagum dengan kejayaan saudara dan saudari,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Belia Negara 2021, hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus membantu golongan itu melalui usaha pemerkasaan belia ke arah pembangunan modal insan yang lestari dan berinovasi tinggi.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan khususnya untuk warga belia melalui pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan memperkenalkan beberapa inisiatif khusus untuk belia di bawah Inisiatif ke-19: Prihatin Belia.
Kata beliau, sebagai langkah mendokong inisiatif pendigitalan, Program e-Belia diperkenalkan bertujuan menggalakkan transaksi tanpa tunai dengan setiap pemohon yang layak boleh menebus kredit e-wallet sebanyak RM150 melalui aplikasi e-wallet yang terpilih.
“Program ini dijangka memberi manfaat kepada dua juta belia dan mahasiswa yang berumur 18 hingga 20 tahun atau menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dengan peruntukan sebanyak RM300 juta,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) turut mengambil inisiatif merangka Model Pembangunan Belia Baharu sebagai pelengkap bagi menyokong dan menambah baik mekanisme Dasar Belia Malaysia 2015-2035 sedia ada agar selari dengan dasar dan polisi terkini seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).
Kata beliau, tumpuan juga diberi kepada usaha menangani cabaran belia terutamanya pasca Covid-19 serta mempersiapkan anak muda dalam menghadapi arus perubahan landskap digital yang merangkumi bidang kemahiran seperti mengehak upaya belia melalui pemikiran analitik dan inovasi, kecekapan pengurusan teknologi baharu dan penekanan budaya inovasi dan kreativiti.
Menyedari kepentingan golongan belia terhadap hala tuju pembangunan negara, Perdana Menteri berkata, peranan belia diperkasa melalui penubuhan Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri supaya suara generasi belia di peringkat akar umbi dapat didengari dan seterusnya menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan.
“Pada masa ini proses pemilihan calon sedang dimuktamadkan dan barisan anak muda yang terpilih untuk menganggotai Kumpulan Penasihat Anak Muda ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Menerusi platform ini, saya berharap lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh,” katanya.- UTUSAN ONLINE