SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini sebagai langkah mengurangkan jumlah kes Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu adalah berdasarkan dua faktor utama iaitu salah satunya melihat kepada beberapa hospital di Selangor telah mencapai kapasiti pesakit Covid-19.
“Faktor pertama yang dilihat ialah beberapa hospital di negeri ini yang telah mencapai kapasiti menampung pesakit Covid-19 sehingga 70 peratus. Yang kedua pula ialah terdapat individu positif Covid-19 tidak kuarantin di rumah dan telah pergi ke tempat awam.
“Namun sekiranya PKP dilaksanakan, kita berharap Kerajaan Pusat tidak melaksanakannya secara total, seperti PKP 1.0 dengan menutup sektor ekonomi memandangkan Selangor merupakan pusat ekonomi utama Malaysia.
“Bagaimanapun kita menyerahkan keputusan menguatkuasakan PKP di Selangor kepada kebijaksanaan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka membuat pengumuman berhubung perkara itu beberapa hari lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke majlis tandatangan memorandum persefahaman Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) antara kerajaan negeri dengan Open University Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di bawah Program Saringan Covid-19 di Komuniti.
“Program berkenaan akan dijalankan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di DUN Hulu Langat, Jumaat ini.
“Saringan akan dibuat secara berperingkat oleh pasukan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) dan Selangor Task Force Operation (STFO),” katanya.